Total Pageviews

Sunday, September 19, 2010

kalau lah aku miliki dirimu....

" kalau lah aku miliki dirimu....


  akan kusiapkan hati ini hanya untukmu,
  akan kujadikan jiwa ini sisipan jiwamu,
  akan kutanamkan cintaku dihatimu saja,
  seluruh hidupku hanya untuk bersamamu.


  memilikimu bukan untuk milikan semata,
  memilikimu bukan untuk kujadikan hiasan semata,
  memilikimu adalah untuk meningkatkan keimanan,
  memilikimu adalah untuk menjalankan fitrah cinta,
  memilikimu kerana aku punyai rasa dan jiwa tulus,
  memilikimu kerana aku adalah diriku dicipta untukmu,


  cintaku wajahku,
  cintaku fitrahku,
  fitrah cinta untuk aku milikimu,
  fitrah cinta untuk aku terus bersamamu. "


 hasil nukilan dari lubuk hati aku,
 20/09/2010, 11:39 am.

Tuesday, September 7, 2010

Dalam beberapa hari je lagi nak raya nih...


alahaii.....
aduhaii....
aduiyaii....
syawal 2010........

Habis duit untuk belanja raya tahun ni. Ini baru hidup membujang belum lagi hidup berumah tangga. Macam mana lah ye, harap-harap bertambah lah rezeki lepas kahwin nanti. Amin. Semua barang dah beli Cuma tinggal nak balik je ni. Nasib baik abang ipar aku ada di kolumpo ni. Boleh tumpang dan takde lah aku sakit kepala nak pikir macam mana nak balik kampong dengan barang-barang aku tu semua.
Lepas subuh nanti insyallah aku bertolak ke Pekan, Pahang.

Sebenarnya paling aku tak sabar nak jumpa anak sedara aku yg paling kecik tu, Najmi. Dia dah boleh berjalan dah kali terakhir aku jumpa dia hari tu. Raya ni mesti dah boleh berlari. Haha...lagi la seronok melayan kerenah dia. Tapi yang xseronok tu bukannya aku ni selalu ada masa nak layan kerenah dia. Sah-sah aku kena buat kerja memasak, mengemas, beli itu beli ini. Huhu...ingat balik nanti boleh berehat ke, jumpa kawan ke. Itu kalau waktu aku sekolah dulu boleh la buat macam tu. Tapi bila da besar ni memang bikin malu la. Hehe...ni kalau adik beradik aku baca ni mesti diorang sengih perli je sebab diorg lagi tahu fe’el aku kat rumah macam mana. Ahh, diorang pun sama je. Tapi apa-apa pun, dah sampai kat rumah ni nanti, semua akan jadi seronok bila semua adik beradik berkumpul, gelak sama-sama, dengar bebelan mak sama-sama biarpun sorang je buat silap. Biasa la, rumah takde la besar mana pun, sedangkan kentut pun leh dengar dari dapur ke ruang tamu. Haha...

Raya kali ni, berlaukkan ayam kampong. Bapak aku dah siap sembelih 4 ekor dan aku pulak dah tempah 3 ekor lagi ayam kampong. Itu belum campur dengan ayam Bandar lagi. Perghh...rendang ayam kampong, sate ayam kampong, ayam kampong panggang, semua dah duduk dalam bayangan nafsu makan aku ni. Memang dah tak sabar sangat dah rasanya ni. Walaupun aku sedar aku tak mampu nak makan semua tu. Biasa la tu memang dah jadi perangai nafsu yang xpernah kenal erti penyakit kemudian hari. Huhu...aku perli diri aku sendiri tu.

Baju raya.

Tahun ni aku pilih warna biru tercoise dari jenis kain cotton sbline. Sumpah aku tak pernah tahu kain jenis apa tu dan aku harap aku tak tersalah info. Tuan kedai yang cakap begitu. Seperti biasa aku lebih suka pakai baju melayu teluk belanga. Aku suka sebab tak panas kalau pakai. Lagi pulak aku ni memang gila pakai baju tradisional ni dari pagi sampai la ke malam dengan aksesori songkok yang tinggi ala-ala orang johor. Aku sangat suka beri perhatian kat perkara-perkara yang berkaitan dengan budaya dan adat melayu ni selagi tak melebihi batasan akidah Islam la. Dan aku sangat bangga dengan adat istiadat orang melayu ni walaupun tentang cara pemakaian. Dan aku juga suka kalau tengok gadis melayu pakai baju kurung ni especially kalau kurung cotton, kebaya (yg tak telus dan dedah kulit), kurung Pahang dan semua yang berkait dengan baju tradisional la. Aku seronok dan bangga sekali kalau dapat dekat dengan perkara tradisional ni. Hehe...bangga beb jadi orang melayu.

Alhamdulillah...

Syawal kali ni, takde lagi aku dengar keluarga dan sanak saudara aku ditimpa kesusahan, penyakit, dan perkara-perkara yang tak sedap didengar. Syukur, semoga keadaan ini berterusan selagi hayat dikandung badan dan semoga Allah swt memberkati kehidupan kami sekeluarga. Amin ya robbil-a’lamin. Insyallah syawal ni aku masih dapat bersama dengan nenek aku. Dia lah satu-satunya generasi perantara-dua dalam keluarga kami yang masih hidup. Aku masih tak dapat lupa kenangan aku tidur di pangkuannya sambil punggung aku ditepuk. Nostalgia beb, jujur kalau boleh aku nak pergi semula ke detik itu. Huhu...:) dan aku tiba-tiba teringat memori raya waktu kecik-kecik dulu. Hari yang paling ‘giler’ ialah 3 hari sebelum raya dan 3 hari selepas puasa. Semuanya gamat. Pelita, mercun, bunga api, meriam buluh/besi/tanah/tin, tangkap ayam, potong rumput, bakar lemang, cari pucuk daun kelapa/palas dan macam-macam lagi la. Semuanya ada kisahnya tersendiri. Memang panjang dan kelakar la. Itu sebelum raya, kisah hari raya pun tak kurang hebatnya. Berjalan beramai-ramai beraya rumah orang, puas pusing satu kampong sendiri, masuk kampong sebelah pulak, dah puas pusing kampong orang, sanggup naik bas pergi area perumahan yang penduduknya ntah sape-sape tapi duit raya punya fasal, redah aje lahh...haha.. Janji dapat kumpul duit raya sebanyak mungkin. Sebenarnya duit tu semua bukan nak menyimpan sampai tua pun tapi untuk beli kereta mainan je. Kereta control yang waktu tu berharga ratusan ringgit. Itu la yang mak aku mengamuk sakan kat aku...haha...biasa la budak kecik akal pendek, panjang impian bermain. 

Kalau sebut pasal kenangan raya waktu kecik, memang tak abis nak diceritakan. Semua orang ada kenangan tersendiri. Jadi, hargailah ia selagi kaki boleh melangkah, tangan boleh menggaruk, bibir boleh menguntum senyuman. Keindahan aidilfitri yang sememangnya dinanti-nantikan oleh semua.

Dan kini, dalam waktu aku bekerja ni aku cuba untuk menulis sedapat mungkin apa yang dirasakan di benak fikiran aku. Walaupun bukan semua tapi mana-mana yang boleh la. Sebenarnya aku dah nak balik dah ni, nak berkemas pulak barang-barang kat rumah tu. Sape lagi nak tolong kemaskan kalau tak aku sendiri. Bini, jangan haraplah dia nak tolong fasal memang aku ni tak berbini lagi. Kah..kah...insyallah nanti ada la yang hadir untuk sudi jadi bini aku tak lama lagi. Hik...hik...

Ok, sementara masih sempat online ni, aku nak ucapkan kepada semua yang sudi baca blog aku nih ;

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN. SEMOGA BERBAHAGIA DISAMPING KELUARGA TERCINTA DAN HATI-HATI BAGI YANG MEMANDU PULANG KE KAMPONG HALAMAN.

Salam aidilfitri.  


  

Monday, September 6, 2010

IKLAN RAYA

TV3 mohon maaf penyiaran iklan hari raya berunsur memesong akidah
Iklan Raya TV3KUALA LUMPUR 5 Sept – Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.



kwang2.....


Sejak itu...


Sejak jumaat lalu iklan kontroversi ini ditayangkan.
Sejak berminggu sebelum jumaat lalu aku tak tengok rancangan tv (melainkan nak tengok waktu berbuka saja).
Sejak itu juga berbagai komen dan respon dari rakyat Malaysia yang sungguh prihatin terhadap apa yang berlaku.

Sejak semalam (5 sept), pihak tv3 telah menarik balik tayangan iklan tersebut.
Sejak semalam beribu-ribu rakyat menuntut kemaafan secara peribadi dari ketua pegawai eksekutif tv3.
Sejak semalam jugalah ada yang baru menyedari kesilapan iklan tersebut dan berbagai-bagai teori dan tanggapan diluahkan.

Hari ini masih lagi ada yang menuntut penjelasan.
Hari ini masih lagi ada segelintir umat yang tidak berpuas hati selagi pihak bersalah tidak menyembah kaki mereka.
Dan hari ini juga aku baru tahu tentang hal kesilapan iklan ini.kah..kah..kahh..

     Inilah senario yang selalu berlaku di negara yang merdeka buat kali ke 53 ini. Pantang ada silap semua mahu menegur, semua mahu mengkritik, semua mahu membidas dan semua mahu macam lagi la. Yang kedengaran pedas dari hati yang panas, yang berbaur hasad dari hati yang dendam. Yang berbunyi kesedaran dari hati yang menerima. Bagaimanakah anda?aku?Jawab sendiri.

     Beca terbang, jawi terbalik, aksi santa claus, teratai Buddha, lampu malap, melayu millennium dsb. Itu antara isu-isu yang dipersoalkan dalam iklan terbabit. Satu yang amat menarik, sungguh celik bagi mereka ini kerana mampu mengesan tulisan jawi terbalik pada buku yang budak iklan tu baca. Sangat peka dan tajam matanya. Beca terbang, lagi la mengarut di akal jiwa melayu. Tak pernah dibuat orang denga mengaitkan perkara-perkara magis ni dengan perayaan menyambut aidilfitri bagi umat Islam. Di sini aku terfikir bahawa apakah yang difikirkan oleh Encik Douglas Khoo Hong Sen sebagai pengarah kreatif tv3 dalam pembikinan filem pendek ini. Melayu millennium? Encik Douglas Khoo menginginkan melayu millennium. Bagaimana dengan melayu sendiri? Adakah anda semua mahukan melayu ke arah yang sama? Jawab sendiri.

Nampaknya tema ‘Sinari Lebaran’ tv3 kali ini tak menjadi la. Dah jadi ‘komen bertebaran’ di sana sini. Nampaknya stesen tv yang popular dengan tagline ‘tv3 ambil berat’ ini kurang mengambil berat sensitivti umat Islam dan akibatnya terpaksa menebal muka memohon maaf dan menarik balik tayangannya itu.
Nampaknya pihak media tv3 terpaksa la beraya dengan kontroversi ‘Raya Aidilfitri ala-ala Cristmas’. Begitulah nampaknya.

     Ini la bahananya kalu media hanya memikirkan populariti dan nama sahaja. Mengeluarkan idea kreatif tidaklah salah. Tapi biarlah berpada dan jangan sampai golongan penonton terutama si cilik boleh terpesong akidah dan terdedah kepada pemikiran kebaratan yang tersedia jauh dari adat dan budaya timur terutama budaya Melayu dan Islam. Nasib baik baru lima kali tayangan, kalau tidak dah tentu anak-anak kita tidur bermimpikan beca terbang dan berangan-angan bersama orang tua melayari langit. Kenapa encik Douglas mengaitkan terbang dengan millennium ye? Adakah millennium itu semuanya terbang dan terapung semata-mata? Bukankah millennium itu seharusnya diminda kita? Minda yang maju dalam memperjuangkan keharmonian dan kesejahteraan hidup. Agar generasi rakyat Malaysia sentiasa dibekalkan dengan semangat perjuangan yang harmoni. Pergghh...boleh pulak aku kaitkan dengan semangat kemerdekaan dalam hal ni. Tapi kenapa pulak tak boleh, kita bru je masuk hari ke tujuh ulangtahun kemerdekaan ke 53 negara kita. Apa salahnya kan...hehe.

    Sebenarnya, menyambut kemerdekaan dan menyambut aidilfitri ini tidaklah jauh pengertiannya. Kebetulan pula tarikh kedua-dua sambutan ini dekat. Jadi, sama-samalah kita renungkan bersama makna sebuah kemerdekaan dan rahmat kurniaan dari-Nya. 

Pohh palihh....itu la dia sikit sebanyok kawan ni duk pikir lepas bace isu ni pg td....yang mane yg burok tur jadikanlah tauladan la yer...mane yg baik tur, teruskanlah berusaha bertambah baik..  wallahualam... 

Saturday, September 4, 2010

1 2 3 go !!

Assalamualaikum….
Aku memulakan cerita tangisan sebagai mula bicara aku di sini. Ibarat seorang bayi yang baru lahir dan tangisan itu sebagai tanda mula hidup ke alam dunia ini. Begitu juga tujuan aku di sini, yang baru lahir ke dunia siber bercerita dan berkongsi tentang apa yang bisa aku rasakan dalam mengharungi liku-liku hidup ini.


TANGISAN ITU……..

Menangislah sepuas-puasnya, engkau akan berpuas hati selepas itu. Dan bila saat kita bersuka dan bersenang, agaknya masih ingat lagi atau tidak akan tangisan tersebut.
 Mungkin ingat mungkin juga tidak barangkali. Namun dalam sedar atau tidak, perasaan suka dan duka ini tidak boleh dipisahkan apatah lagi dihapuskan salah satunya. Fikirkan sejenak tentang fitrah kejadian manusia. Dari alam rahsia-NYA sehinggalah alam rahim dan kemudiannya ke alam dunia keindahan sementara dan fana ini. Sejurus sahaja tubuh kita keluar dari pintu rahim ibu kita, kita bermula dengan tangisan. Tangisan yang tidak diketahui samada tangisan sedih atau gembira. Tetapi yang pasti, yang menunggu kelahiran kita itu pasti menangis kegembiraan tatkala mereka menyedari akan indahnya permulaan sebuah kehidupan. Dipendekkan cerita, berakhirnya sebuah kehidupan di dunia inipun akan disusuli dengan tangisan-tangisan kesedihan tatkala mereka menyedari orang yang dikasihi telah pergi meninggalkan mereka. Tidak kurang juga ada yang menangis menyedari mereka juga akan pergi ke ‘sana’ kemudian hari. Begitulah lumrahnya kehidupan singkat yang dikurniakan Allah swt kepada makhluknya yang serba sempurna berbanding makhluk lain ini.
Sebenarnya tahukah kita kenapa kita dijadikan sebegitu rupa di alam ini? Manusia menangis apabila sedih dan juga gembira. Manusia menangis apabila ada yang tidak memenuhi kehendak mereka. Ermmm…barangkali ada yang menjawab, “Sudah begitu lumrahnya ya tuan. Terimalah seadanya.” Memang benar sudah menjadi lumrah kejadian manusia. Tetapi apakah manusia sedar bahawa semua itu bermula dari satu lagi bentuk kejadian iaitu hati dan perasaan kita sendiri. Hati sanubari itu yang begitu halus kejadiannya. Tersentuhnya hati itu bisa membuatkan sang air mata mengalir keluar dari liangnya. Tersentuhnya hati itu bisa mengakibatkan sang pencinta mengorbankan segala-galanya. Tersentuhnya hati itu bisa membuatkan manusia mengasihi antara satu sama lain. Tersentuhnya hati itu bisa menerbitkan cinta sedalam-dalamnya. Ingin aku bertanyakan kepada semua, adakah sesuatu yang berlaku di dalam hidup kita ini yang tidak bermula dari hati? Semuanya kerana hati. Terbinanya seorang yang bergelar insan adalah dari sejuknya hati. Terwujudnya manusia yang rosak hidupnya adalah dari kerana sakitnya hati. Oleh nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW telah berpesan supaya menjaga hati kita kerana hati itu mewakili seluruh tubuh badan kita. Rosak hatinya, binasalah jasadnya. Inilah yang kita seharusnya sedar bahawa hati itulah punca segala bentuk peristiwa didalam sebuah kehidupan tiap-tiap manusia.
Dan apakah kaitannya hati dan tangisan itu tadi? Allah SWT telah menjadikan kita sebaik-baik kejadian namun sedarlah bahawa kita manusia dan kehidupan lain di dunia ini adalah selemah-lemah makhluk. Dan Allah itu berkuasa ke atas tiap-tiap mahkluk dan kejadian. Bukti lemahnya manusia adalah tangisan. Dari awal kehidupan sehinggalah pengakhiran semuanya disusuli dengan tangisan. Ya, tangisan itulah buktinya bahawa kita ini hanyalah sang makhluk yang sangat lemah. Oleh itu tiada salahnya kita menangis kerana tangisan itulah suatu bentuk pengiktirafan terhadap kelemahan yang kita miliki di sisi Allah SWT.
Hati dan perasaan itulah penentu taraf dan tingginya darjat hati seseorang samada mulia atau tidak layak digelar manusia. Dan manusia yang buta hatinya dan perasaannya terhadap perasaan orang lain adakah layak hidup dimuka bumi ini? Adakah kerana bencinya seseorang itu menyebabkan mereka sanggup meninggalkan taraf kemanusian itu dan rela membiarkan perasaan orang lain menderita? Ke manakah perginya hati dan perasaan itu? Di manakah bukti kita itu adalah seorang insan yg menghambakan diri kepada Allah SWT tatkala kita sendiri sengaja membutakan hati dan perasaan daripada memikirkan perasaan orang lain. Betapa kejinya nilai hati dan perasaan mereka. Mereka mengejar pahala, sujud siang dan malam, merintih untuk dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi apakah mereka tidak mengetahui  bahawa nikmat mengasihi sesama manusia dapat meningkatkan cahaya keimanan dan pengabdian terhadap Allah SWT? Inilah serba sedikit tentang kekesalanku terhadap manusia yang hatinya buta dari memikirkan erti sebuah pengorbanan dan perasaan orang yang mengasihinya. Sesungguhnya hatiku ini tidak ingin menangis untuk manusia sebegini. Dan sesungguhnya hanya jiwa yang REDHA dapat menyenyakkan tidur dan menyenangkan pekerjaan hati mahupun pekerjaan jasmani. Wallahualam…