Assalamualaikum….
Aku memulakan cerita tangisan sebagai mula bicara aku di sini. Ibarat seorang bayi yang baru lahir dan tangisan itu sebagai tanda mula hidup ke alam dunia ini. Begitu juga tujuan aku di sini, yang baru lahir ke dunia siber bercerita dan berkongsi tentang apa yang bisa aku rasakan dalam mengharungi liku-liku hidup ini.
TANGISAN ITU……..
Menangislah sepuas-puasnya, engkau akan berpuas hati selepas itu. Dan bila saat kita bersuka dan bersenang, agaknya masih ingat lagi atau tidak akan tangisan tersebut.
Mungkin ingat mungkin juga tidak barangkali. Namun dalam sedar atau tidak, perasaan suka dan duka ini tidak boleh dipisahkan apatah lagi dihapuskan salah satunya. Fikirkan sejenak tentang fitrah kejadian manusia. Dari alam rahsia-NYA sehinggalah alam rahim dan kemudiannya ke alam dunia keindahan sementara dan fana ini. Sejurus sahaja tubuh kita keluar dari pintu rahim ibu kita, kita bermula dengan tangisan. Tangisan yang tidak diketahui samada tangisan sedih atau gembira. Tetapi yang pasti, yang menunggu kelahiran kita itu pasti menangis kegembiraan tatkala mereka menyedari akan indahnya permulaan sebuah kehidupan. Dipendekkan cerita, berakhirnya sebuah kehidupan di dunia inipun akan disusuli dengan tangisan-tangisan kesedihan tatkala mereka menyedari orang yang dikasihi telah pergi meninggalkan mereka. Tidak kurang juga ada yang menangis menyedari mereka juga akan pergi ke ‘sana’ kemudian hari. Begitulah lumrahnya kehidupan singkat yang dikurniakan Allah swt kepada makhluknya yang serba sempurna berbanding makhluk lain ini.
Sebenarnya tahukah kita kenapa kita dijadikan sebegitu rupa di alam ini? Manusia menangis apabila sedih dan juga gembira. Manusia menangis apabila ada yang tidak memenuhi kehendak mereka. Ermmm…barangkali ada yang menjawab, “Sudah begitu lumrahnya ya tuan. Terimalah seadanya.” Memang benar sudah menjadi lumrah kejadian manusia. Tetapi apakah manusia sedar bahawa semua itu bermula dari satu lagi bentuk kejadian iaitu hati dan perasaan kita sendiri. Hati sanubari itu yang begitu halus kejadiannya. Tersentuhnya hati itu bisa membuatkan sang air mata mengalir keluar dari liangnya. Tersentuhnya hati itu bisa mengakibatkan sang pencinta mengorbankan segala-galanya. Tersentuhnya hati itu bisa membuatkan manusia mengasihi antara satu sama lain. Tersentuhnya hati itu bisa menerbitkan cinta sedalam-dalamnya. Ingin aku bertanyakan kepada semua, adakah sesuatu yang berlaku di dalam hidup kita ini yang tidak bermula dari hati? Semuanya kerana hati. Terbinanya seorang yang bergelar insan adalah dari sejuknya hati. Terwujudnya manusia yang rosak hidupnya adalah dari kerana sakitnya hati. Oleh nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW telah berpesan supaya menjaga hati kita kerana hati itu mewakili seluruh tubuh badan kita. Rosak hatinya, binasalah jasadnya. Inilah yang kita seharusnya sedar bahawa hati itulah punca segala bentuk peristiwa didalam sebuah kehidupan tiap-tiap manusia.
Dan apakah kaitannya hati dan tangisan itu tadi? Allah SWT telah menjadikan kita sebaik-baik kejadian namun sedarlah bahawa kita manusia dan kehidupan lain di dunia ini adalah selemah-lemah makhluk. Dan Allah itu berkuasa ke atas tiap-tiap mahkluk dan kejadian. Bukti lemahnya manusia adalah tangisan. Dari awal kehidupan sehinggalah pengakhiran semuanya disusuli dengan tangisan. Ya, tangisan itulah buktinya bahawa kita ini hanyalah sang makhluk yang sangat lemah. Oleh itu tiada salahnya kita menangis kerana tangisan itulah suatu bentuk pengiktirafan terhadap kelemahan yang kita miliki di sisi Allah SWT.
Hati dan perasaan itulah penentu taraf dan tingginya darjat hati seseorang samada mulia atau tidak layak digelar manusia. Dan manusia yang buta hatinya dan perasaannya terhadap perasaan orang lain adakah layak hidup dimuka bumi ini? Adakah kerana bencinya seseorang itu menyebabkan mereka sanggup meninggalkan taraf kemanusian itu dan rela membiarkan perasaan orang lain menderita? Ke manakah perginya hati dan perasaan itu? Di manakah bukti kita itu adalah seorang insan yg menghambakan diri kepada Allah SWT tatkala kita sendiri sengaja membutakan hati dan perasaan daripada memikirkan perasaan orang lain. Betapa kejinya nilai hati dan perasaan mereka. Mereka mengejar pahala, sujud siang dan malam, merintih untuk dimasukkan ke dalam syurga. Tetapi apakah mereka tidak mengetahui bahawa nikmat mengasihi sesama manusia dapat meningkatkan cahaya keimanan dan pengabdian terhadap Allah SWT? Inilah serba sedikit tentang kekesalanku terhadap manusia yang hatinya buta dari memikirkan erti sebuah pengorbanan dan perasaan orang yang mengasihinya. Sesungguhnya hatiku ini tidak ingin menangis untuk manusia sebegini. Dan sesungguhnya hanya jiwa yang REDHA dapat menyenyakkan tidur dan menyenangkan pekerjaan hati mahupun pekerjaan jasmani. Wallahualam…
like3
ReplyDeleteYes..mmg tau pun
ReplyDelete