Total Pageviews

Wednesday, June 15, 2011

CEGHITER PASAL IKAN SKETT....

Cari punye cari.....terjumpa lah menda nih, selamat membaca.....


KAJIAN KOMUNITI IKAN DI TASIK RABAN, PERAK.
KHAW HUI LENG

ABSTRAK
Kajian komuniti ikan dijalankan di Tasik Raban, Perak, Malaysia. Sebanyak 20 spesies ikan dari sepuluh famili telah direkodkan. Famili Cyprinidae merupakan famili yang paling dominan dengan diwakili oleh lapan spesies ikan diikuti dengan famili Channidae, Cichlidae dan Bagridae yang masing masing diwakili oleh dua spesies. Famili Eleotridae, Mastacembelidae, Nandidae, Notopteridae, Osphronemidae dan Schilbeidae masing masing terdiri daripada satu spesies. Jumlah keseluruhan bilangan spesimen ikan yang berjaya dikumpul ialah 174 ekor. Thynnichthys thynnoides (lomah) dari famili Cyprinidae merupakan bilangan spesies yang tertinggi iaitu 45 ekor, diikuti dengan Pristolepis grootii (patung) 31 ekor dari famili Nandidae dan Notopterus chitala (belida) 26 ekor dari famili Notopteridae. Saiz ikan yang terbesar terberat ialah Ctenopharyngodon idellus (tongshan) dari famili Cyprinidae dengan 53.5 cm dan 2300 gm. Kajian juga telah merekodkan fizikal kimia kualiti air iaitu julat kejernihan di antara julat 0.80 m – 1.08 m, julat kedalaman ialah 2.40 m – 4.52 m, julat pH air dari 5.7 – 7.0, julat suhu dari 26.6 °C - 26.7 °C, julat oksigen terlarut dari   4.59 mg/L - 4.97 mg/L, julat kekonduksian dari 48 μS/m - 54.5 μS/m, julat kandungan fosfat ialah 0.03 mg/L – 0.34 mg/L dan nitrat ialah 0.08 mg/L - 0.12 mg/L. Nilai- nilai parameter kualiti air yang direkodkan ini tidak mengalami perubahan yang ketara berbanding dengan lapan tahun yang lalu dan kawasan ini masih merupakan habitat yang sesuai untuk ikan.


ULASAN KEPUSTAKAAN

2.1 IKAN
Komuniti nekton terdiri daripada organisma yang daya pergerakannya berkembang dengan baik. Dari segi bilangan dan spesies, ikan membentuk sebahagian besar daripada komuniti nekton. Dari segi komposisi, ikan di kawasan tropika sungguh berbeza daripada ikan di temperat. Di Brazil sahaja terdapat lebih daripada 1400 spesies ikan, manakala di Eropah hanya mempunyai 192 spesies ikan. Di semenanjung Malaysia, terdapat 56 famili ikan air tawar dengan 382 spesies ikan air tawar (Ahmad & Badri 1992).

2.2 PENGELASAN IKAN
Data morfometri, pengecaman dan pengenalpasti bahagian-bahagian badan serta sifat meristik, bilangan sisik pada garis lateral, bilangan tulang, bilangan ruji keras dan ruji lembut serta pecahan relatif seperti panjang kepala, panjang pedunkul dan tinggi badan merupakan deskripsi sesuatu sepsies ikan oleh ahli taksonomi. Kaedah anatomi penting dalam mengenalpasti peringkat yang lebih tinggi iaitu famili, order dan kelas. Kaedah pendekatan molekul juga digunakan dalam pengelasan organisma ini seperti analisis bilangan dan bentuk kromoson, analisis kandungan protein darah dan sebagainya. (Mohsin & Ambak 1992).


2.3 KOMUNITI
Menurut Kamus Ekologi (1993), komuniti ialah satu unit vegetasi yang jelas mengandungi dua bilangan spesies atau lebih, misalnya komuniti tumbuhan tepi pantai berpasir atau kumpulan yang terdiri daripada dua populasi atau lebih di suatu  tempat tertentu yang saling berhubungan antara satu sama lain.
Komuniti dalam sesuatu ekosistem selalunya mengandungi banyak spesies yang hidup bersama dan bersaing. Nic merupakan interaksi di antara organisma dan alam semula jadi. Setiap spesies mempunyai nic yang berlainan tetapi  saling bertoleransi dengan keadaan yang kurang sesuai dengan mempunyai julat toleransi yang berbeza. Habitat yang mengandungi jumlah komuniti yang tinggi adalah habitat yang baik dan sesuai untuk dihuni. Saiz ikan memberi gambaran status sumber makanan yang terdapat di persekitaran, kerentanan terhadap pemangsa serta sifat fisiologi, tahap tenaga dan kejayaan proses pembiakan sesuatu spesies (Abdul Rahman 2003).

2.4 TASIK
Ekosistem tasik merangkumi segala habitat dari permukaan hingga ke dasar. Tasik boleh dibahagikan kepada beberapa zon sama ada secara menegak mahupun secara mengufuk.  Persekitaran tasik boleh dibahagikan kepada dua bahagian asas: zon limnetik dan zon bentik. Zon limnetik atau kadangkala dikenali juga sebagai zon pelagik merupakan zon tasik yang tidak dipengaruhi oleh bahagian dasar atau pinggir tasik. Dengan kata lain, air tasik itu sendiri membentuk persekitaran limnetik. Untuk berjaya hidup di persekitaran ini, penghuni zon ini mestilah mampu untuk berenang atau sekurang-kurangnya terapung ataupun terampai. Maka, didapati plankton dan nekton membentuk komuniti yang penting di zon ini (Ahmad & Badri 1992).
Terdapat berbagai-bagai bentuk dan saiz tasik di muka bumi ini, ada tasik yang mempunyai keluasan beribu-ribu kilometer persegi dan mempunyai kedalaman beratus-ratus meter, dan ada juga tasik yang mempunyai keluasan hanya beberapa kilometer persegi sahaja dan kedalaman kurang daripada 10 meter. Dari segi usia pula, ada tasik baru wujud sepuluh atau dua puluh tahun sahaja. Namun begitu, terdapat juga banyak tasik di permukaan bumi ini yang sudah berusia beratus-ratus tahun dan masih kekal hingga sekarang.
Begitu banyak tasik yang bertaburan di seluruh pelosok dunia dan tasik ini terbentuk dengan berbagai-bagai cara. Pembentukannya berkaitan dengan peristiwa yang mewujudkan lembangan atau lekukan di permukaan kerak bumi. Peristiwa yang berlaku sepanjang zaman ini terjadi sama ada secara semula jadi atau akibat daripada aktiviti manusia. Di Malaysia, terdapat banyak kawasan perlombongan yang ditinggalkan dan kemudiannya dipenuhi air untuk membentuk jasad air (Ahmad & Badri 1992).

2.5 MORFOLOGI IKAN
Bentuk seekor ikan adalah satu unit yang menirus ke arah ekor tetapi bahagian kepala, badan dan ekornya masih boleh dibezakan dengan mudah. Ikan mempunyai beberapa morfologi penting yang membolehkan ikan beradaptasi dengan persekitaran di dalam air.Di antara struktur tersebut ialah insang, sirip, sisik, garis deria, mulut, kulit dan lendir. Mofologi ikan air tawar (Rajah 2.1).

2.5.1 Insang
Ikan adalah haiwan yang bernafas dalam air sepanjang kitar hidupnya. Memandangkan oksigen kurang di dalam air (<5%) berbanding dengan udara (21%), ikan telah berkembang sebuah mekanisme yang khusus iaitu insang untuk penyerapan oksigen (Atack 2006). Pada peringkat dewasa, ikan bernafas menggunakan insang mereka.  Insang terdiri dari banyak lapisan filamen berdinding tipis yang bercantum dengan lengkungan insang, dan warnanya merah kerana ia mempunyai sebilangan besar saluran darah. Insang dilindungi oleh satu penutup yang disebut operkulum (Ahmad 2002). Filamen-filamen insang tersebut mempunyai kawasan permukaan yang amat besar untuk penyerapan oksigen. Air mengalir dalam satu arah, bertentangan arah kepada aliran darah yang mengalir melalui bilik insang. Oksigen meresap dari air ke dalam darah. Sistem bertentangan arus ini memastikan cukup oksigen diekstrakkan untuk pernafasan.
Walau bagaimanapun, di habitat di mana oksigen terlarut berkurangan, banyak ikan telah berevolusi untuk bernafas udara atmosfera dengan menggunakan labirin. Labirin ialah suatu organ pernafasan tambahan khas yang terletak di atas insang pada bahagian atas ruang insang. Ia terdiri daripada lamela, yang dilitupi dengan selapis kulit yang sangat bervaskular, dan berlingkar membentuk beberapa lipatan untuk memaksimumkan kawasan permukaan untuk penyerapan udara (Sim 2002).

2.5.2 Sirip
Sirip merupakan sifat yang paling ketara pada ikan. Sirip-sirip ini disokong oleh rangka apendikular dan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu sirip tak berpasang dan sirip berpasang. Sirip-sirip tak berpasang ialah sirip-sirip dorsal, kaudal dan dubur; sirip-sirip berpasang pula ialah sirip pektoral dan sirip ventral. Sirip-sirip ini ditegapkan oleh struktur yang dinamakan ruji. Ruji ini mungkin lembut dan boleh dilentur atau diubahsuaikan menjadi spina.
Sirip-sirip pektoral yang terdiri daripada jejari lembut sahaja, terdapat di bahagian bahu atau lengkungan pektoral. Sirip pektoral digunakan untuk mengekalkan keseimbangan ikan sama ada dalam masa rehat atau bergerak. Sirip ventral berfungsi dalam menstabilkan badan dan memberhentikan pergerakan.
Sirip median termasuklah sirip dorsal yang terdapat di sepanjang belakang, sirip kaudal atau ekor, dan sirip dubur yang terletak di ventral badan dan di belakang dubur pada kebanyakan ikan. Sirip dorsal ada yang memanjang di sepanjang tengah belakang, ada pula yang terbahagi kepada dua atau tiga sirip yang berasingan, atau cuma satu sahaja sirip dorsal yang kecil.  Fungsi sirip dorsal ialah bagi menstabilkan badan dan menolong menukar arah gerakan ikan dengan cepat tetapi ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama sirip kaudal dan sirip dubur yang memberhentikan pergerakan terlebih dahulu. Pada amnya, sirip dubur mempunyai pangkal yang pendek tetapi banyak juga spesies yang mempunyai sirip dubur yang lebih panjang daripada sirip dorsalnya.
Sirip kaudal mempunyai berbagai-bagai bentuk, saiz, dan jenis yang mana boleh mencerminkan peringkat evolusi dan perhubungan antara ikan-ikan jika dibandingkan dengan jenis-jenis sirip yang lain. Sirip kaudal mempunyai pelbagai bentuk iaitu bulat, trunkat, emarginat, lunat dan bercabang. Bagi ikan-ikan yang sirip kaudalnya berbentuk lunat merupakan ikan yang paling pantas berenang dan berupaya bergerak dengan cepat serta boleh tahan lama berbanding dengan spesies yang mempunyai kaudal jenis trunkat, bulat, atau emarginat. Jenis cabang bagi sirip kaudal meliputi heteroserkal, heteroserkal singkatan, homoserkal, dan isoserkal (Bond 1987).

2.5.3 Sisik
Kebanyakan ikan mempunyai sisik untuk menutupinya yang berasal daripada dermal plakoid, genoid, sikloid, dan stenoid. Sisik ikan tidak akan gugur seperti bulu burung. Sekiranya sisik hilang secara tak sengaja, sisik baru akan tumbuh. Semasa ikan membesar, sisik juga turut membesar. Pemerhati sisik yang mahir berkebolehan untuk menentukan umur, proses fisiologi ikan serta tanda-tanda kejadian lain pada ikan (Ahmad 2002).

2.5.4 Garis Deria
Ikan mempunyai berbagai-bagai organ deria. Pengubahsuai struktur organ-organ tersebut membolehkannya berfungsi dengan cekap di dalam ekologi yang berbeza. Antaranya ialah deria rasa, deria yang membantu keseimbangan badan dan deria yang sensitif berdekatan dengan bahagian mulut iaitu sesungut. Ikan akan mengesan pemangsa dan bahaya yang menghampiri atau mengesan mangsa untuk dimakan dengan menggunakan garis deria. Ikan sensitif terhadap getaran, cas elektrik, perubahan suhu dan tekanan.

2.5.5 Mulut
Kedudukan mulut terbahagi kepada empat iaitu inferior, subterminal, terminal dan superior. Bahagian mulut ikan terdiri dari empat bahagian iaitu rahang bawah atau mandibel, pramaksila, maksila dan setengah-setengah spesies pula mempunyai supramaksila yang fungsinya tidak berapa penting. Mulutnya biasanya menjulur, cuaran menaik pramaksila bergerak ke bawah dan ke hadapan dari tempat asalnya di bahagian hidung. Bibir atau rahang pada kebanyakan ikan disambungkan kepada muncung atau dagu oleh kulit penyambung atau sternum supaya mulut tak terjurus keluar.

2.5.6 Kulit
Kulit ikan terdiri daripada dua lapisan yang biasa iaitu epidermis luar dan lapisan dermis dalam. Pada kebanyakan ikan, lapisan epidermis biasanya sangat nipis dan terdiri daripada 10 sehingga 30 lapisan sel. Setengah-setengah sel epidermis merupakan kelenjar-kelenjar lendir bersel tunggal yang mengeluarkan lendir bagi membentuk lapisan luar berlendir bagi ikan.

2.5.7 Lendir
Lendir ikan merupakan satu pelindung epidermis dan membuat ikan sukar untuk dipegang. Lendir juga boleh mengumpulkan zarah zarah perangsang dan sebahagian garam-garam logam berat dan membuangkannya. Bakteria disingkirkan dari sel-sel epidermis yang hidup oleh lendir. Lendir memberikan kebolehan kepada ikan untuk memulakan aktiviti berenang dengan cepat, menolong proses osmokawalan dengan membantutkan pergerakan klorida, memendakkan jisim-jisim tertentu yang terapung di dalam air berlumpur.

2.6 PEMBIAKAN
Ikan-ikan terkenal kerana fekunditinya yang berpotensi tinggi, dengan kebanyakan spesies melepaskan beribu-ribu hingga berjuta-juta telur setiap tahun. Majoriti ikan bertelur dan mengamalkan persenyawaan luar, iaitu ovipariti, percantuman sperma dari induk jantan dan telur dari induk ikan betina berlaku di luar badan. Mereka mengeram telur-telur dalam badan mereka sehingga kesemua telur menetas, dan melahirkan anak mereka hidup-hidup.
Kestabilan bilangan populasi sebenarnya sukar untuk dicapai dan bilangan yang lebih besar atau lebih kecil bergantung kepada tekanan faktor-faktor alam sekitar. Spesies ikan mengevolusikan kaedah-kaedah pembiakan, dan penyertaan fisiologi membolehkan mereka berjaya dalam berbagai-bagai jenis keadaan. Untuk memastikan kadar kemandirian yang lebih tinggi, banyak strategi bertelur luar biasa digunakan seperti melalui penambahan bilangan, penyorokan, perlindungan terhadap sarang, atau penahanan dalam badan (Bond 1987).

2.7 FIZIKAL KIMIA AIR
Bagi melengkapkan kajian komuniti ikan air tawar di Tasik Raban, persampelan air di Tasik Raban turut akan dijalankan bagi mengetahui beberapa parameter kualiti air iaitu kejernihan, kedalaman, pH, suhu, oksigen terlarut, kekonduksian, fosfat dan nitrat. Data ini penting kerana pencemaran kualiti air bukan sahaja mempengaruhi kegunaan air bagi manusia tetapi juga kepada organisma lain terutamanya organisma akuatik. Pencirian air melalui pelbagai parameter fizikal-kimia dan aspek-aspek biologi akuatik merupakan kaedah menilai suatu jasad air. Menurut Ahmad dan Badri (1992) menyatakan bahawa perubahan besar dalam isipadu air, kadar pengaliran, saiz saluran dan kadar hakisan tanah adalah boleh dijangka.

2.7.1 Kejernihan
Parameter kejernihan memberi maklumat kandungan jasad air. Bahan penyebab kekeruhan terbahagi kepada dua iaitu bahan terampai boleh enap yang mendak ke dasar serta bahan terampai yang tidak boleh enap yang sentiasa berada di dalam air.
Kejernihan cakera secchi mempunyai kolerasi yang rapat dengan peratusan pemancaran cahaya. Secara amnya, kejernihan cakera secchi berpadanan dengan kedalaman yang menerima lebih kurang sepuluh peratus cahaya permukaan. Komposisi nekton dan bentos tinggi pada tahap kejernihan yang rendah.

2.7.2 Kedalaman
Menurut Abdul Rahman (2003) produktiviti ikan di tasik boleh dikaitkan secara langsung dengan kedalaman purata dan luas permukaan selain kadar hakisan. Kedalaman berkait rapat dengan kestabilan ekosistem, taburan tumbuhan makrofit akuatik, nekton, fitoplankton, zooplankton dan bentos. Nilai kedalaman purata memberi petunjuk kepada status trofik sesebuah tasik.

2.7.3 PH
Nilai pH ialah ukuran aktiviti ion hidrogen dan merupakan logaritma salingan kepada kepekatan ion hidrogen. Nilai pH air melambangkan kepekatan ion hidrogen di dalam air. Nilai pH yang rendah iaitu pH 1-6 merujuk kepada kandungan ion hidrogen yang tinggi dan air bersifat asidik. Nilai pH 7 adalah neutral, nilai pH 8-14 menunjukkan keadaan beralkali iaitu kepekatan ion hidrogennya rendah (McInerny & Gerard 1970).
Aktiviti biologi lazimnya terhad dalam julat pH 6 hingga 8. Air yang mempunyai nilai asid atau alkali yang tinggi akan mengakibatkan masalah kakisan dan kesukuran merawatnya semula. Kestabilan pH air dipengaruhi oleh tiga komponen utama ialah kepekatan karbon dioksida, bikarbonat dan ion karbonat.

2.7.4 Suhu
Setiap benda hidup sama ada di air mahupun daratan, mempunyai julat suhu tertentu untuk hidup. Suhu diukur dengan menggunakan unit darjah celsius atau °C. Di dalam julat suhu ini, fisiologi organisma boleh berfungsi dengan lancar. Suhu bukan sahaja mempengaruhi jenis dan taburan fauna dan flora habitat akuatik secara langsung, tetapi juga mempengaruhi ciri persekitaran air itu sendiri. Antaranya ialah mempercepatkan tindak balas kimia, mengurangi kebolehlarutan gas termasuk oksigen terlarut dan memperkuatkan rasa dan bau.

2.7.5 Oksigen Terlarut
Oksigen merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan kesejahteraan jasad air. Oksigen diperlukan dalam penghasilan dan menyokong kehidupan biologi. Oksigen digunakan untuk proses respirasi tumbuhan dan haiwan, pereputan bakteria terhadap bahan organik dan juga pengoksidaan kimia bahan buangan. Oksigen menjadi faktor penentu dalam kitaran organik di persekitaran akuatik.
Oksigen boleh larut mudah dalam air. Isipadu oksigen terlarut dalam air pada suatu masa bergantung pada suhu air, tekanan atmosfera, kepekatan garam terlarut dalam air dan juga aktiviti biologi. Keterlarutan oksigen boleh ditingkatkan dengan merendahkan suhu.
Kandungan oksigen dalam air bergantung pada beberapa proses fizikal, kimia, biologi dan mikrobiologi. Punca utama oksigen di persekitaran akuatik ialah dari atmosfera. Oksigen menyerap masuk di permukaan tasik melalui interfasa udara-air dan kemudiannya diselerakkan ke seluruh jasad air oleh angin, tindakan ombak dan percampuran menegak.
Pengukuran oksigen terlarut memberikan maklumat tentang tahap pencemaran dan juga untuk penentuan penghasilan bersih dan kasar. Kepekatan oksigen terlarut yang rendah pada amnya menandakan kewujudan bahan cemar organik (Ahmad & Badri 1992).

2.7.6 Kekonduksian
Kekonduksian meruju kepada keseluruhan ion-ion yang terlarut di dalam air. Kekonduksian ion-ion yang terlarut di dalam air secara semula jadi disebabkan tindak balas kimia dan proses luluhawa batuan atau mineral di atmosfera dan seterusnya air hujan yang mengalir membawa ion-ion ke dalam sungai.
Peningkatan nilai kekonduksian akan menjadikan tasik menjadi masin dan memberi kesan kepada ikan air tawar dan seterusnya menjejaskan rantaian makanan organisma tersebut. Kekonduksian air yang terlalu rendah pula akan mengehadkan taburan ikan. Sungai dan tasik semula jadi mempunyai kekonduksian antara 10 - 1000 μS/cm.

2.7.7 Fosfat
Aras fosfat di kebanyakan tasik adalah rendah. Fosfat yang memasuki sistem akuatik akan diambil oleh bakteria, alga dan makrofit akuatik. Fosfat boleh memasuki sistem akuatik dari persekitaran daratan dan juga melalui proses pereputan dan perkumuhan tumbuhan atau haiwan. Walaupun unsur fosfat diperlukan dalam jumlah yang kecil, namun fosforus merupakan salah satu unsur yang boleh mengehadkan pertumbuhan fitoplankton dan tumbuhan autotrof lain yang hanya boleh menggunakan fosforus dalam bentuk fosfat (PO4-). Kemasukan fosfat secara berlebihan boleh membawa kepada keadaan eutrofi.

2.7.8 Nitrat
Nitrogen dalam bentuk nitrat (NO4-) pada amnya merupakan bentuk bergabung nitrogen tak organik yang paling biasa wujud di ekosistem tasik. Sebatian ini merupakan punca nitrogen utama untuk tumbuhan di persekitaran ini. Input utama nitrat di tasik adalah daripada hujan dan air larian. Nitrat yang terkumpul di dasar jasad air boleh ditukarkan kepada gas nitrogen oleh bakteria iaitu proses pendenitritan. Tindakan ini membolehkan bakteria tersebut mendapat oksigen daripada nitrat untuk kegunaan respirasi pada aras oksigen yang rendah (Ahmad & Badri 1992).


BAHAN DAN KAEDAH

3.1 LOKASI KAJIAN
Tasik Raban (Rajah 3.1) terletak di bawah mukim Durian Pipit, daerah Lenggong, Perak. Ia merupakan sebahagian daripada Tasik Chenderoh, salah satu tasik yang besar daripada empat tasik di daerah hulu Perak. Oleh sebab empangan Chenderoh didirikan di seberang Sungai Perak, maka hilir Sungai Raban menjadi tasik (Mashhor Mansor 1997). Tasik Raban ini dinama sempena sebuah kampung kecil Raban di situ. Ia bukan sebuah tasik tunggal tetapi terdiri daripada beberapa kolam yang mempunyai landskap alam semulajadi yang indah dan unik.
Pekan Raban dan persekitaranya seluas 3152 hektar dan terletak 13 kilometer dari pekan Lenggong. Menurut bancian Majlis Daerah Lenggong (2000), pekan Raban mempunyai sebanyak 170 buah rumah serta 154 buah keluarga dengan jumlah penduduknya sebanyak 761 orang yang 440 orang penduduk perempuan dan 321 orang penduduk lelaki.
Tasik Raban juga merupakan salah satu lokasi perlancongan di Negeri Perak. Keistimewaan tasik ini terletak pada keindahan dan keunikan alam semula jadinya.  Ini secara langsung dapat menambahkan sumber pendapatan penduduk di setempat. Aktiviti utama masyarakat di situ ialah mencari hasil hutan, pertanian dan menangkap ikan. Di antara ikan yang ditangkap ialah jelawat, baung, tengalan, patin, toman, kelah, haruan, lampan jawa, sebarau, seluang, tilapia dan kaloi.

Selain itu, Tasik Raban juga sebagai tempat rekreasi dan syurga bagi pengail. Ramai yang suka memanjing dan membawa ahli sekeluarga berehat, berkelah di samping menikmati keindahan alam sekitar Tasik Raban. Terdapat juga pengail yang sanggup memandu jauh datang ke Tasik Raban semata-mata untuk memancing.
Tasik ini sesuai bagi yang menggemari sukan air. Kawasan di persekitaran tasik ini juga disediakan pelbagai kemudahan seperti chalet, taman kanak-kanak, restoran terapung dan pusat khidmat pelancong. Di tasik ini juga sering diadakan sukan air peringkat Negeri Perak sempena Hari Kebangsaan. Di antara acara yang sering diadakan ialah perlumbaan perahu panjang kayak (Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong 2007).

Rajah 3.1 Peta Tasik Raban, Perak, Malaysia


3.2 PERSAMPELAN AIR
Sepanjang penyelidikan ini, penilaian terhadap kualiti air diambil. Ini termasuk parameter kualiti air yang asas seperti oksigen terlarut, pH, kelutsinaran, suhu, konduktiviti, kedalaman, nitrat dan fosfat (Mohd. Salim et al. 1996). Sampel air diambil secara in-situ di empat stesen secara rawak di Tasik Raban. Kedudukan keempat-empat stesen ditentukan dengan menggunakan GPS. Nilai koordinasi dicatatkan sebagai rujukan. Air didapatkan dari permukaan tasik. Penentuan parameter fosfat dan nitrat ditentukan di darat. Di darat, nilai pH ditentukan dengan menggunakan meter pH. Dengan menggunakan Hatch Kit, kandungan fosfat dan nitrat juga ditentukan.
Parameter kelutsinaran ditentukan dengan menurunkan cakera Secchi perlahan-perlahan ke dalam air sehingga warna putih yang terdapat di cakera hilang dari pandangan. Cakera ini dinaikkan semula secara perlahan-lahan sehingga ia kelihatan kembali. Kemudian turunkan kembali. Nilai lutsinaran air ialah kedalaman di mana warna putih cakera hilang dicatatkan. Pengukuran kelutsinaran air dilakukan terlebih dahulu sebelum pengukuran lain untuk mengelak air menjadi keruh dan mengganggu pembacaan.
Alat pengesan bacaan oksigen meter dicelupkan ke dalam tasik sehingga bacaan stabil. Bacaan okisigen terlarut, kekonduksian dan suhu direkodkan sebanyak dua kali bagi setiap stesen. Nilai parameter kedalaman diambil dengan mencelupkan  sebahagian echosounder ke dalam air. Ukuran kedalaman yang ditunjukkan di skrin echosounder dicatatkan. Alat-alatan yang digunakan dalam persampelan air seperti dalam jadual 3.1

Jadual 3.1 Alat-alatan yang digunakan dalam persampelan air

Parameter
Alat / Model
Jenis
Negara pengeluar
Kedudukan
GPS
Rino 130/Garmin LTD
Taiwan
pH
YSI
06K1081 AD/556mps
Amerika Syarikat
Kelutsinaran
Cakera Secchi
Lamotte code 0171
Amerika Syarikat
Oksigen Terlarut
YSI
06K1081 AD/556mps
Amerika Syarikat
Konduktiviti
YSI
06K1081 AD/556mps
Amerika Syarikat
Nitrat, Fosfat
Hach Kit DR2000
P/N 44800-00 unit, 7-8V @ 700mA
Amerika Syarikat
Kedalaman
Echosounder
Speedtech instruments
Japan

3.3 PERSAMPELAN IKAN
Persampelan ikan di Tasik Raban dijalankan dengan menggunakan peralatan ikan seperti jaring, pukat, jala, pancing, bubu dan rawai. Pemilihan alat penangkapan ikan disesuaikan dengan kepelbagaian habitat dan nic yang terdapat di persekitaran Tasik Raban.
Lokasi persampelan dipilih secara rawak berpandukan maklumat dari penduduk tempatan yang terlibat dalam aktiviti perikanan di Tasik Raban. Sampel ikan terlebih dahulu diteliti kesamaan ciri morfologi untuk diasing-asingkan dan pengecaman spesies ditentukan. Pengukuran seperti jumlah panjang, panjang piawai dan lebar ikan ditentukan dan dicatatkan. Pengambilan gambar setiap spesies dibuat sebanyak tiga kali. Penyimpan sampel di dalam bekas dan pengawetan dilakukan terhadap sampel ikan yang jarang didapati.

3.4 KAEDAH PERSAMPELAN IKAN
Kaedah penangkapan atau pengumpulan sampel,  pengecaman, penamaan dan pengelasan, pengambilan gambar, penyimpanan dan pengawetan dibuat dengan teliti dan mengikut tatacara yang telah ditetapkan. Kaedah persampelan ikan ini perlu dipatuhi supaya kajian komuniti ikan dapat dijalankan dengan berkesan dan cekap.

3.4.1 Penangkapan / Pengumpulan Sampel
Penangkapan menggunakan jaring yang berukuran 12 m panjang dan 1.5 m lebar dengan mata jaring saiz 2” inci di empat lokasi yang berbeza di kawasan kajian tersebut. Jaring akan ditinggalkan semalaman di kawasan yang telah dikenalpasti terlebih dahulu untuk mendapat hasil yang diharapkan. Jaring digunakan secara meluas dalam kajian limnologi, jenis dan saiz ikan yang ditangkap bergantung kepada saiz jaring yang digunakan. Ikan tersangkut di jaring pada bahagian insang, sirip atau rahang. Penggunaan pukat boleh menambah bilangan sampel yang diperlukan.
Kaedah pancingan dengan menggunakan umpan sawit yang telah diperam, dada ayam, udang kecil serta anak ikan dan jala digunakan di kawasan yang cetek dan beraliran perlahan. Selain itu, ikan yang ditangkap oleh penduduk tempatan juga dibeli untuk menambahkan bilangan sampel.

3.4.2 Pengecaman Ikan
Proses pengecaman adalah merujuk kepada kekunci khas pengelasan ikan air tawar iaitu berdasarkan morfologi sampel ikan seperti saiz dan bentuk sirip, bentuk dan panjang badan. Warna juga digunakan untuk tujuan pengecaman tetapi perlu berhati-hati disebabkan warna ikan boleh berubah mengikut tempat sekitaran dan masa (Ahmad & Badri 1992). Bagi spesimen yang tidak dapat dicam di lapangan diawet dan dibawa ke makmal untuk pengecaman. Pengecaman spesies dilakukan dengan berpandukan buku-buku taksonomi umum seperti Mohsin dan Ambak (1983), Inger & Chin (2002) dan Sim (2002).

3.4.3 Pengukuran Ikan
Pengukuran jasad ikan dibuat dengan menggunakan pembaris panjang dan kaliper dengan skala piawai. Pengukuran adalah bertujuan untuk membandingkan bentuk badan spesies yang berlainan, dan ciri-ciri seperti kedudukan sirip adalah penting. Sampel ikan diletakkan di atas permukaan yang rata dan bersih. Pengukuran ini melibatkan tiga ukuran asas iaitu jumlah panjang, panjang piawai dan lebar ikan. Jumlah panjang merupakan jarak yang terpanjang dari hujung depan sekali hingga hujung pangkal ekor. Bagi ikan yang mempunyai ekor yang bercabang, kedua-dua cuping diluruskan untuk mendapatkan panjang yang maksimum. Panjang piawai pula merupakan jarak dari bahagian paling anterior kepala kepada bahagian terakhir bertulang di ekor. Lebar ikan adalah tinggi maksimum badan ikan dan tidak diambil kira tisu atau struktur bersisik di pangkal sirip. Berat ikan diambil dengan alat penimbang dan kesemua data yang diukur dan ditimbang dicatatkan. Berat ikan harus diambil dari spesimen yang hidup dan bermaya. Berat ikan hidup paling baik diambil di dalam air dengan menimbang terlebih dahulu sesuatu bekas yang mengandungi air yang cukup untuk keperluan ikan yang akan ditimbang. Kemudian letakkan ikan dan timbang sekali lagi (Bagenal 1990).

3.4.4 Pengambilan Gambar
Imej setiap spesimen diambil dengan menggunakan kamera digital. Ikan dibersihkan dahulu dan diletakkan di atas papan kadbod berwarna putih sebagai latar belakang yang kemas dan jelas. Pin digunakan untuk  menetapkan kedudukan sirip pada spesimen. Pengambilan gambar dilakukan sebanyak tiga kali supaya gambar setiap spesies yang bermutu diperolehi. Namun hanya ikan yang sempurna fizikalnya dan saiz yang bersesuaian diambil gambar sahaja.

3.4.5 Penyimpanan
Ikan yang ditangkap disimpan dalam bekas spesimen mengikut setiap sub-lokasi. Ikan diawet di dalam formalin 10% dan dibawa balik ke makmal sebagai rujukan masa depan (Cramphorn et al. 1993; Mohd. Salim et al. 1996). Penyediaan formalin 10% adalah satu bahagian formalin dengan sembilan bahagian air. Spesimen yang panjang piawainya  melebihi 20 cm patut mempunyai celahan yang dibuat memanjang di perut, seelok-eloknya di sebelah kanan garis tengah. Tentukan formalin 10% disuntik masuk menerusi celahan (Ng et al. 1992). Untuk ikan yang besar, torehan yang dalam perut perlu dibuat hingga ke jisim otot di salah satu sisi turus vertebrata supaya dapat ditembusi bahan pengawet (Bagenal 1990). Botol yang panjang diperlukan untuk menyimpan spesimen ikan yang besar supaya mereka tidak menjadi bengkok. Botol plastik yang mempunyai penutup skrew dengan kapasiti 1/2 liter atau 1 liter adalah paling sesuai untuk disimpan. Botol sampel harus disimpan secara mendatar untuk memastikan spesimen ikan yang telah diawet adalah lurus sepenuhnya (Cramphorn et al. 1993). Sampel ikan yang diawet penting sekiranya berlaku sesuatu kerosakan pada gambar yang diambil. Tetapi tidak semua ikan diawet, seekor atau dua ekor ikan yang sempurna fizikal dan saiz yang bersesuai diawet sebagai perwakilan daripada setiap satu spesies sahaja. Spesimen disimpan di tempat yang gelap untuk mengelakkan warna spesimen daripada luntur terlalu cepat.


HASIL DAN PERBINCANGAN

4.1 SENARAI SPESIES IKAN TASIK RABAN
Hasil Kajian komuniti ikan di Tasik Raban telah berjaya merekodkan sebanyak 20 spesies ikan daripada sepuluh famili ikan yang telah dikenalpasti melalui tangkapan. Satu senarai ikan di Tasik Raban dari kajian ini seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 4.1. Menurut Kong & Ahyaudin (2000), kajian lepas yang dijalankan telah meyenaraikan sebanyak 63 spesies ikan di Tasik Chenderoh manakala Kong & Ahyaudin (2000) telah merekodkan sebanyak 42 spesies ikan daripada 13 famili di Tasik Chenderoh pada tahun 2000. Jika rekod Kong dan Ahyaudin (2000) dijadikan sebagai rujukan maka kajian ini menunjukkan pengurangan sebanyak 22 spesies atau 48% jumlah ikan yang terdapat di Tasik Chenderoh pada lapan tahun lalu. Kajian diversiti dan ekologi di Tasik Tonle Sap di Cambodia telah berjaya merekodkan sebanyak 149 spesies ikan dari 35 famili oleh Campbell et al. (2006). Jumlah spesies ikan di Tasik Raban hanya membentuk 13% jumlah ikan yang terdapat di Tasik Tonle Sap, Cambodia.


Jadual 4.1 Bilangan individu yang ditangkap mengikut famili di Tasik Raban, Perak.

Famili
Spesies
Nama tempatan
Cyprinidae
Ctenopharyngodon idellus
Tongshan

Cyclocheilichthys apogon
Chemperas

Hampala macrolepidota
Sebarau

Labiobarbus kuhli
Lemeh

Osteochilus hasseltii
Terbul

Puntioplites bulu
Tengalan

Puntius schwanenfeldii
lampan sungai

Thynnichthys thynnoides
Lomah



Channidae
Channa lucius
Bujuk

Channa striata
Haruan



Cichlidae
Oreochromis massambicus
Tilapia hitam

Oreochromis niloticus x Oreochromis mossambicus
Tilapia merah



Bagridae
Mystus macronemus
Baung

Mystus nigriceps
Kenjing



Eleotridae
Oxyeleotris marmorata
Ketutu



Mastacembelidae
Macrognathus aculeatus
Tilan



Nandidae
Pristolepis grootii
Patung



Notopteridae
Notopterus chitala
Belida



Osphronemidae
Osphronemus goramy
Kalui



Schilbeidae
Pangasius pangasius
Patin

4.2          FAMILI IKAN
Hasil menunjukkan famili ikan yang terbesar di Tasik Raban adalah famili Cyprinidae. Famili Cyprinidae diwakili oleh lapan spesies ikan dan membentuk 45% dari keseluruhan ikan di Tasik Raban. Spesies dalam famili ikan ini meliputi Ctenopharyngodon idellus(tongshan), Cyclocheilichthys apogon (chemperas)Hampala macrolepidota (sebarau)Labiobarbus kuhli (lemeh)Osteochilus hasseltii (terbul)Puntioplites bulu (tengalan)Puntius schwanenfeldii (lampan sungai) dan Thynnichthys thynnoides (lomah). Rajah 4.1 menunjukkan komposisi ikan yang mengikut famili di Tasik Raban.
Famili ikan yang kedua besar adalah famili Channidae, Cichlidae dan Bagridae yang masing-masing membentuk 10% daripada keseluruhan ikan di Tasik Raban. Famili Channidae diwakili oleh dua spesies ikan iaitu Channa lucius (bujuk) dan Channa striatus(haruan). Famili Cichlidae pula diwakili oleh Oreochromis massambicus (tilapia hitam) dan Oreochromis niloticus Oreochromis mossambicus (tilapia merah). Mystus macronemus (baung) dan Mystus nigriceps (kenjing) pula mewakili famili Bagridae.
Famili Eleotridae, Mastacembelidae, Nandidae, Notopteridae, Osphronemidae dan Schilbeidae masing-masing membentuk 5% daripada keseluruhan ikan di Tasik Raban. Setiap famili ikan ini hanya diwakili oleh satu spesies ikan. Famili Eleotridae diwakili olehOxyeleotris marmorata (ketutu), famili Mastacembelidae diwakili oleh Macrognathus aculeatus (tilan), famili Nandidae diwakili olehPristolepis grootii (patung), famili Notopteridae diwakili oleh Notopterus chitala (belida), famili Osphronemidae diwakili olehOsphronemus goramy (kalui) dan famili Schilbeidae diwakili oleh Pangasius pangasius (patin).
Berbanding dengan Kong & Ahyaudin (2000) dan Campbell (2006), famili ikan yang telah direkokan masih diwakili dominan oleh famili Cyprinidae yang masing masing membentuk 50% dan 39%. Famili Cyprinidae merupakan famili ikan yang terbesar dari segi bilangan genus dan spesies dan didapati dengan banyaknya hampir di semua perairan. Famili ikan ini juga mempunyai berbagai-bagai tabiat peneluran. Spesies ini membuat sarang di bawah batu, kayu dan objek-objek lain yang berat (Mohsin & Ambak 1992). Famili kedua terbesar yang direkod oleh Kong & Ahyaudin (2000) dan Campbell (2006) juga diwakili oleh famili Bagridae iaitu 9% dan 8%. Hasil menunjukkan bahawa kedominan famili ikan yang terdapat dalam tasik di kawasan Asean adalah lebih kurang sama.


Rajah 4.1   Komposisi famili ikan di Tasik Raban


4.3 KELIMPAHAN IKAN
Jumlah keseluruhan bilangan spesimen ikan yang disampel ialah 174 ekor ikan. Kelimpahan ikan Tasik Raban (Rajah 4.2). Hasil kajian menunjukkan tiga spesies yang mempunyai bilangan spesimen yang tertinggi ialah Thynnichthys thynnoides (lomah) 45 ekor dari famili Cyprinidae, Pristolepis grootii (patung) 31 ekor dari famili Nandidae dan Notopterus chitala (belida) 26 ekor dari famili Notopteridae.
Hasil kajian menunjukkan lima spesies ikan yang mempunyai bilangan spesimen terkecil dengan satu ekor sahaja ialahCtenopharyngodon idellus (tongshan) dari famili Cyprinidae, Channa lucius (bujuk) dan Channa striata (haruan) dari famili Channidae, Oreochromis niloticus x Oreochromis mossambicus (tilapia merah) dari famili Cichlidae dan Macrognathus aculeatus(tilan) dari famili Mastacembelidae.
Menurut Ahyaudin & Bat-Kamaruzaman (1996), Thynnichthys thynnoides (lomah) merupakan satu spesies yang sangat subur dari segi pembiakan dan peneluran selalu berlaku di dalam zon litoral banjir. Telur-telur yang dikeluarkan akan berkumpul dekat makrofit yang tenggelam. Tingkah laku jenis pembiakan ini mungkin merupakan faktor jumlah bilangan telur yang banyak dihasilkan. Oleh itu, kelimpahan Thynnichthys thynnoides (lomah) merupakan bilangan spesimen yang terbanyak ditangkap dalam kajian ini.

Rajah 4.2   Kelimpahan spesies ikan di Tasik Raban

4. 2 PENGHURAIAN SPESIES

4.2.1      Famili Cyprinidae
Famili ikan ini mempunyai bilangan spesies terbesar di Tasik Raban dengan lapan spesies.

Rajah 4.3:  Tongshan

Spesies ini berasal daripada Sungai Amur di China. Apabila orang Tionghua berhijrah ke Malaysia mereka telah memperkenalkan spesies ini. Ikan ini telah diterima dengan meluasnya oleh rakyat Malaysia sehingga ia menjadi salah satu spesies ternakan yang penting. Kadar tumbesaran spesies ini cepat, tetapi ia tidak dapat bertelur di perairan tempatan.
Badan berbentuk silinder. Warna badan gelap di atas dan perak pucat di bawah. Tinggi badan sama dengan panjang kepala. Mucung tumpul dan leper. Sisik besar dengan jalur memancar yang besar. Abdomen tidak berlunas. Permulaan sirip dorsal lebih jauh di depan berbanding dengan sirip ventral. Sirip ventral lebih pendek daripada sirip pektoral. Sirip dubur mempunyai spina tidak berserat. Sirip kaudal bercabang tetapi lebih pendek daripada kepala. Ikan Tongshan ini adalah herbivor.

Rajah 4.4:  Chemperas

Spesies ikan Chemperas mempunyai 10 jalur memanjang berbintik terletak antara belakang kepala ke bahagian ekor. Ia mempunyai satu bintik hitam pada pangkal ekornya. Ikan ini tiada sesungut. Bahagian atas kepala berbentuk cekung. Mulut mengarah ke bawah. Iris ikan berwarna merah darah dan sirip berwarna merah pucat. Sirip dorsal bermula lebih ke posterior berbanding sirip pelviks. Spina sirip dubur yang ketiga adalah lembut.
Ia tinggal di dalam anak sungai kecil, empangan, tasik, terusan dan parit. Ia biasanya dijumpai pada permukaan tumbuhan, pada daun dan akar pokoknya di mana ia mencari plankton kecil dan krustacia. Ia juga bergerak ke dalam, hutan yang dibanjiri dan dataran banjir. Ia dilaporkan membiak semasa musim air tinggi dari September hingga Oktober antara tempoh permulaan paras air memuncak dan menurun.

Rajah 4.5:  Sebarau

Ikan dewasa mempunyai palang hitam di antara sirip dorsal dan pelviks. Sirip ekor berwarna oren hingga merah dengan belang hitam yang memanjang dan marginal di sepanjang setiap cuping ekornya. Ikan juvenil biasanya mempunyai palang menegak tambahan pada pangkal ekor dengan satu tanda hitam pada pipi. Barbelnya lebih panjang daripada lebar mata.
Ia dijumpainya terutamanya dalam sungai dan anak sungai yang airnya mengalir dengan dasar berpasir hingga berlumpur. Ia dijumpai  di kebanyakan badan air, kecuali caruk kecil, curahan air deras, dan paya cetek. Sejenis spesies berhijrah. Ia memasuki hutan yang dibanjiri. Sejenis ikan pemangsa, ikan dewasa kebanyakannya adalah pemakan ikan.

Rajah 4.6:  Lemeh

Dorsal melengkung sedikit di bahagian oksiput. Terdapat dua baris liang di anterior muncung. Ada dua pasang sesungut, sesungut maksila lebih panjang daripada sesungut rostrum. Mulut subinferior dengan bibir terumbai. Permulaan sirip dorsal lebih kurang di tengah-tengah antara sirip pektoral dengan sirip ventral. Satu bintik hitam terdapat di bawah garis deria dan di tengah-tengah atas sirip pektoral dan satu bintik lagi di hujung deria sisik kecil sirip kaudal bercabang dengan cuping atas lebih panjang daripada cuping bawah. Garis deria hampir lurus dan mempunyai lebih daripada 60 sisik.

Rajah 4.7:  Terbul

Ia dikenalpasti dengan 12-18 sirip dorsalnya yang bercabang, 6-9 baris bintik di sepanjang garis sisik, dan suatu tompok bulat yang besar di atas pangkal ekor. Mulut terjulur ke atas di pinggir papila. Sudut bibir atas berlipat dan bersambung dengan bibir bawah. Bibir atas ditutupi kulit. Papila bibir bawah terjulur keluar. Mata kecil terletak hampir ke muncung berbanding operkulum. Setiap sisik mempunyai bintik hitam, titik hilang apabila ikan dewasa. Ia tidak mempunyai garis hitam pada pertengahan lateralnya tetapi ada kalanya mempunyai bintik di atas satu sirip pektoral. Majoriti dari spesimen mempunyai satu garis lateral pada badannya. Sirip dorsal ikan yang besar bermula di hadapan sirip pelvis ikan dan berakhir di hadapan sirip anal ikan. Sirip kaudal bercabang. Sirip pektoral dan kaudal berwarna kemerahan. Badan berwarna gelap di bahagian belakang dan perak di bahagian bawah.
Ia dijumpai di semua habitat, tetapi biasanya dihubungkait dengan anak sungai besar yang mengalir perlahan dan substrat yang berlumpur hingga berpasir. Ia berhijrah dari sungai ke kawasan yang dibanjiri semasa permulaan musim banjir dan kembali ke sungai pada akhir tempoh itu. Ikan juvenil biasanya dilihat pertama kalinya dalam bulan Ogos. Mereka bergerak ke dalam sungai untuk mencari tempat berlindung dalam timbunan semak, akar pokok dan substrak yang lain. Ia sejenis ikan pemakan fitoplankton. Ia memakan akar tumbuhan tenggelam (Hydrilla verticillata), alga unisel dan beberapa krustasia serta perifiton dan fitoplankton.

Rajah 4.8:  Tengalan

Badannya berbentuk batu permata dengan mata besar dan mulut jenis inferior kecil. Ia mempunyai ruji anal yang tidak bergerigi dengan tompok-tompok sisik yang gelap membentuk garis palang serong. Muncung pendek dan cembung di anterior. Pangkal sirip dorsal terletak jauh di depan sirip dubur.
Ia dijumpai pada paras pertengahan air dan dasar air yang dalam sungai dan tasik tanah rendah yang besar. Ia bergerak ke dalam hutan yang dibanjiri apabila paras air tinggi. Ia memakan tumbuhan yang tenggelam serta beberapa alga berfilamen serangga yang dijumpai pada tumbuhan.

Rajah 4.9:  Lampan Sungai

Ia dikenalpasti dengan sirip dorsal yang merah dengan tompok hitam di hujungnya. Ia mempunyai sirip-sirip pektoral, pelviks dan anal yang berwarna merah. Sirip kaudal atau ekornya berwarna merah dengan margin berwarna putih dan belang submargin hitam di sepanjang setiap cuping dan 8 baris sisik di antara sirip dorsal dan garisan lateral. Individu-individu yang saiznya besar berwarna perak atau kuning keemasan dengan sirip dorsal yang merah dan sirip kaudal yang berwarna oren atau merah darah.
Ia dijumpai dalam sungai, anak sungai, terusan dan parit. Ia juga memasuki dataran banjir. Spesies ini kebanyakan herbivor. Ia memakan makrofit akuatik dan tumbuhan darat yang tenggelam, serta juga alga berfilamen dan serangga.

Rajah 4.10:  Lomah

Badannya berwarna putih perak dengan sisik kecil dan satu operkulum besar. Permukaan atas badan berwarna gelap. Sirip dorsal letak bertentangan dengan sirip ventral. Ia tidak mempunyai bibir atas. Permulaan sirip dorsal lebih dekat dengan muncung berbanding dengan pedunkel kaudal. Sirip dubur berbentuk cekung. Sirip pelviks lebih pendek daripada sirip pektoral. Sejenis mikrofagus spesies dan memakan terutamanya fitoplankton dan perifiton dengan sejumlah kecil alga bentik dan zooplankton kecil.

4.2.2      Famili Channidae
Famili ikan ini diwakili oleh dua spesies ikan dalam komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.11: Bujuk

Ikan yang mendiami anak sungai hutan ini mempunyai suatu siri tanda-tanda lubang yang ketara pada sisi badannya dan mempunyai kepala yang lebih menirus berbanding dengan spesies lain. Kepala ikan ini menyerupai kepala ular. Juvenilnya lebih pucat atau berwarna coklat di atas badan, kuning di bawah dengan mempunyai tiga belang gelap bermula dari pinggir belakang mata ke pedunkel kaudal. Kedua-dua belah badan ikan bertompok-tompok coklat. Ikan dewasa dan tua mempunyai warna lebih gelap. Terdapat antara 12 hingga 15 belang menyerong yang ketara pada bahagian ventral badan. Terdapat 6-8 tompokan kehitaman di operkulum. Terdapat garis deria yang melengkung seperti anak tangga di tengah badan. Terdapat tompok-tompok hitam yang ketara di badan dan kepala. Sirip dorsal, sirip pektoral, sirip kaudal dan sirip dubur mempunyai tompok hitam yang kecil. Sirip kaudalnya berwarna kelabu. Permulaan sirip dorsalnya terletak di atas dasar sirip pektoral manakala sirip dubur bermula pada titik tempat sirip pelviks berakhir.
Ia mendiami anak sungai dan sungai yang mengalir perlahan, serta juga tasik, kolam dan empangan. Spesies pemakan ikan ini sering dijumpai di kawasan berhutan yang mempunyai banyak tumbuhan akuatik, serta juga tumbuhan berkayu yang di tenggelami air di mana ia memburu ikan, udang, ketam dan udang kecil. Spesimen kecil kerap diperhatikan berehat atas akar pokok Pandanusynag tenggelam, khasnya pada waktu malam.

Rajah 4.12:  Haruan

Badannya sub-silinder; kepalanya melekuk dan sirip kaudalnya bulat. Terdapat gigi besar berbentuk kon pada rahang bawah. Rahang bawah lebih panjang. Ikan mempunyai belahan mulut yang besar. Maksila memanjang hingga ke belakang orbit. Sirip pektoral tidak memanjang hingga ke tempat permulaan sirip dubur. Bahagian dorsal berwarna kelabu tua dan bahagian ventral berwarna putih kuning. Pipi dan bahagian ventral mulut berwarna berbintik-bintik hitam. Sisik di bahagian kepala bersaiz besar. 
Ia mendiami air yang mengalir perlahan atau bertakung dan dijumpai terutamanya di paya, tetapi juga di sungai tanah rendah. Ia lebih banyak terdapat dalam air yang relatifnya dalam (1-2 m), air tenang dan banyak terdapat di sawah padi. Ia boleh hidup semasa musim kering dengan mengali lubang dalam dasar tasik dan paya yang berlumpur. Selagi kulit dan organ pernafasannya sentiasa lembap ia boleh hidup bergantung lemak simpanannya.
Ia memakan ikan, katak, ular, serangga, cacing tanah, berudu dan krustasia. Ikan yang tersebar luas ini mempunyai kepentingan ekonomi yang tinggi. Ia mempunyai nilai perubatan untuk menyembuhkan luka badan pesakit yang telah menjalani pembedahan. Ia dianggap sebagai perosak dalam kolam kecil kultur ikan. Kedua-dua jantan dan betina membina sarang daripada tumbuhan di air cetek. Pada waktu malam, sebilangan besar juvenile boleh diperhatikan bersembunyi dan berehat dalam substrat yang berlumpur di kawasan tasik yang cetek. Ini adalah spesies yang sangat tahan lasak yang boleh mendiami air yang cemar.

4.2.3      Famili Cichlidae
Famili ikan ini diwakili oleh dua spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.13:  Tilapia Hitam

Tilapia dijumpai di kebanyakan tempat di Malaysia di kolam, bekas lombong dan sungai. Ia adalah sumber makanan yang baik. Spesies ini dikatakan telah diperkenalkan di Malaysia oleh orang Jepun yang datang dari Jawa pada tahun 1942-1945. Ikan ini mengalami beberapa fasa warna dalam peringkat hidupnya. Ikan betina dan ikan jantan yang tidak membiak berwarna kelabu air hingga ke warna kehitaman. Pada musim pembiakan warna ikan dorsal hitam dan tepinya berwarna merah. Tepi sirip kaudal pun berwarna merah, sirip pektoral semuanya merah. Operkulum mempunyai tompok gelap. Gigi kecil tersusun dalam beberapa siri. Sirip dorsal lembut apabila ditekankan mencapai ke pertengahan sirip kaudal. Sirip pektoral memanjang sampai ke dubur. Sirip kaudal emarginat.

Rajah 4.14:  Tilapia Merah

Spesies ini adalah hybrid daripada Oreochromis niloticus Oreochromis mossambicus. Hybrid ini berwarna merah. Tepi sirip kaudal pun berwarna hitam kemerahan, sirip pektoral berwarna merah. Operkulum mempunyai tompok gelap. Gigi kecil tersusun dalam beberapa siri. Sirip dorsal lembut apabila ditekankan mencapai ke pertengahan sirip kaudal. Sirip pektoral memanjang sampai ke dubur. Sirip kaudal emarginat.

4.2.4      Famili Bagridae
Famili ikan ini diwakili oleh dua spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.15:  Baung

Pada keseluruhan badan berwarna kelabu gelap, bawah badan cerah. Kepala lebar dan tinggi. Rahang atas panjang sedikit daripada rahang bawah. Spina sirip dorsal dan spina sirip pektoral bergerigis ke belakang. Sirip adipos lebih pendek daripada sirip dorsal.

Rajah 4.16:  Kenjing

Warna ikan ini dalam formalin kelabu gelap. Tinggi badan sama dengan panjang kepala. Rahang atas lebih panjang daripada rahang bawah. Kelebaran dan ketinggian kepala lebih kurang sama. Spina dorsal bergerigis sedikit di puncak. Sirip adipos bermula betul-betul di belakang sirip dorsal dan panjang sirip adipos tiga kali lebih panjang daripada sirip dorsal. Sesungut nasal memanjang sampai ke belakang mata. Sesungut maksila memanjang sampai ke tengah sirip kaudal. Sesungut mandibel memanjang sampai ke dasar anterior sirip pelvis. Sesungut mental sampai melebihi dasar sirip pektoral. Sirip kaudal sangat bercabang dan cuping atas agak memanjing dan meruncing tetapi tidak berfilamen. Ikan ini memakan berbagai-bagai jenis makanan. Kandungan perutnya terdiri daripada udang, serangga, ketam dan larva ikan.

4.4.5                    Famili Eleotridae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.17:  Ketutu

Kepalanya mendatar dan mulutnya menghadap atas. Ia mempunyai tanda-tanda coklat besar pada seluruh badan. Sirip kaudalnya bulat. Ikan goby yang terbesar di dunia. Ia dijumpai di sungai, paya, empangan dan terusan. Ia lebih suka menghabiskan masanya tertimbus di dasar, dengan matanya terpacak keluar, untuk menyerang hendap mangsanya. Ia memasuki hutan yang dibanjiri dan memakan ikan kecil, udang, serangga akuatik, moluska dan ketam. Sejenis ikan makanan digemari ramai oleh golongan cina. Ia mempunyai harga jualan yang tinggi. Ia adalah ikan air tawar yang paling mahal.

4.4.6                    Famili Mastacembelidae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.18:  Tilan

Ia mempunyai badan berwarna coklat bercorak awan dan satu siri bintik hitam pada pangkal sirip dorsal. Mulutnya memanjang menjadi runcing. Sirip dorsal dan anal bersambung dengan sirip ekor.
Spesies ini tinggal dalam pelbagai habitat air dari sungai yang mengalir perlahan ke sungai besar. Ia paling banyak dijumpai di substrat kerikil di mana ia menembus dirinya pada waktu siang dan mencari makan secara aktif pada waktu malam. Ia memakan larva serangga bentik, cacing dan tumbuhan tenggelam.

4.4.7                    Famili Nandidae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.19:  Patung

Ia mempunyai badan yang dimampatkan dengan mulut yang kecil dan sedikit terjulur. Ia mempunyai garisan lateral yang tidak sekata dan badannya berwarna coklat dengan kira-kira 6-8 palang kehitaman yang menegak. Palang ini lebih ketara bagi speimen kecil. 
Spesies ini terdapat di habitat sungai yang mengalir melalui kawasan tanah rendah dalam air yang pengalirannya perlahan atau bertakung dan juga dalam padang yang dibanjiri. Ia memakan alga berfilamen, tumbuhan darat yang ditenggelami air, buah-buahan dan biji benih dengan serangga akuatik dan krustasia.

4.4.8                    Famili Notopteridae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.20:  Belida

Badannya dimampatkan dengan predorsal yang cembung. Sirip kaudal meruncing dan bercantum dengan sirip dubur. Tulang maksila memanjang jauh dari mata. Sisik operkulumnya lebih kecil daripada sisik badan. Sirip pelviksnya tidak berkembang. Permulaan sirip dorsal lebih dekat dengan sirip kaudal berbanding dengan muncung. Garis deria yang lengkap bahagian memanjang di separuh atas badan. Bahagian dorsal spesimen berwarna gelap manakala bahagian lateralnya berwarna perak. Isinya manis tetapi banyak tulang. Ia adalah spesies pemakan ikan. Ia memakan ikan dan aktif pada waktu malam.

4.4.9                    Famili Osphronemidae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.21:  Kalui

Pada peringkat juvenil, spesies ini mempunyai 8-10 palang gelap menegak yang lengkap. Kalui yang dewasa tidak mempunyai palang menegak atau sebarang perwarnaan untuk tujuan pembiakan. Kedua-dua jantina kelihatan kusam dengan sisik melintang. Bahagian ruji lembut sirip anal amat besar, margin distalnya adalah selari dengan margin distal sirip kaudalnya. Sirip kaudal adalah bulat atau bulat cakah. Sirip pelviks dengan ruji lembut pertamanya yang memanjang menjadi sesungut seiras benang yang mencapai secara posterior atau melebihi margin belakang sirip kaudalnya. Ia boleh bernafas menggunakan udara atmosfera melalui organ pernafasan tambahan khas yang dipanggil labirin yang terletak sejurus di atas insang. Ia mempunyai bibir tebal. Individu-individu besar sering mempunyai dahi yang bengkak.
Ia mendiami paya, tasik, dan sungai dan memasuki hutan yang dibanjiri. Sejenis ikan omnivor. Ia memakan tumbuhan akuatik, ikan, katak, cacing tanah, dan kadang kala bangkai haiwan. Ia boleh menyedut udara lembap. Oleh itu ia boleh hidup untuk tempoh yang lama di luar air, memungkinkan pemindahan dan pemasaran ikan ini secara hidup atau segar. Spesies ini membina sarang dari bahan tumbuhan dan disebabkan oleh tabiat ini, ia sangat terdedah kepada bahaya terhadap nelayan yang mengetahui tabiat ikan ini.

4.4.10              Famili Schilbeidae
Famili ikan ini diwakili oleh satu spesies ikan di komuniti Tasik Raban.

Rajah 4.22:  Patin

Bahagian belakang kelabu, bahagian atas kepala hijau muda, perut putih berkilat. Sirip dorsal dan sirip dubur berwarna merah jambu hialin, sirip kaudal juga merah jambu, sirip pelvis dan sirip pektoral hialin, sirip adipos kelabu hijau dengan tepi berwarna putih. Kepala bergranul sedikit ke atas. Muncung bulat. Mulut inferior, lunat. Sesungut maksila memanjang hingga ke dasar sirip pektoral. Sesungut mandible berukuran separuh daripada panjang kepala. Gigi viliform di rahang. Dua tompok palatin membentuk satu jalur berbentuk bulan sabit dan dua tompok vomer yang bertemu. Sirip dorsal mempunyai satu spina keras, sangat berserat di sebelah dalam dan berserat halus di sebelah luar. Spina sirip pektoral sangat bergerigis di sebelah dalam. Sirip pelvis terletak lebih dekat dengan tepi sirip dubur berbanding dengan dasar sirip pektoral. Sirip kaudal sangat bercabang dan cuping atas lebih panjang. Kandungan perut terdiri daripada bahan organik yang reput dan sisa-sisa ikan kecil.

4.3              UKURAN IKAN
Hasil kajian menunjukkan spesies ikan yang mempunyai min panjang piawai dan min berat piawai terbesar ialah Ctenopharyngodon idellus (tongshan) dari famili Cyprinidae dengan 53.5 cm dan 2300 gm, Channa striata (haruan) dari famili Channidae dengan 53.0 cm dan 1350 gm, Pangasius pangasius (patin) dari famili Schilbeidae 43.0 cm dan 1053.15 gm. Spesies ikan yang mempunyai min panjang piawai dan min berat piawai terkecil ialah Mystus nigriceps (kenjing) dari famili Bagridae dengan 14 cm dan 25.20 gm. Ukuran ikan Tasik Raban (Jadual 4.2) dan jumlah berat untuk setiap spesies ikan di Tasik Raban (Rajah 4.23).

Jadual 4.2  Ukuran Spesimen ikan di Tasik Raban




Rajah 4.23 Jumlah berat untuk setiap spesies ikan di Tasik Raban

4.4              FIZIKAL KIMIA AIR
Menurut Abdul Rahman (2003), faktor-faktor ekologi seperti cahaya, suhu dan nutrien mempengaruhi perkembangan organisma akuatik. Perkembangan fitoplankton yang merupakan penghasil primer di dalam sesuatu rantai makanan sistem akuatik dibantu oleh cahaya dan suhu yang meningkat. Ciri fizikal kimia kualiti air Tasik Raban (Jadual 4.3) dan parameter kualiti air pada dua stesen di Tasik Chenderoh, PerakMalaysia (Jadual 4.4).

Jadual 4.3  Fizikal kimia air di Tasik Raban
SD Standard deviation



Jadual 4.4  Parameter kualiti air pada dua stesen di Tasik Chenderoh, Perak, Malaysia.
Stesen
Suhu   (°C)
pH
Konduktiviti (μS/cm)
Oksigen Terlarut (mg/l)
Cakera Secchi (m)
A
26.8-27.9
6.81-6.14
24.20-54.70
3.91-6.72
0.6-1.7
B
27.2-29.4
5.98-6.85
27.00-66.20
3.91-6.20
0.6-1.7




Sumber:


terima kasih tak terhingga pd empunya link, http://pkukmweb.ukm.my/ahmad/tesispelajar/ikanraban.htm

No comments:

Post a Comment